Pengikut

Memaparkan catatan dengan label kanak-kanak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kanak-kanak. Papar semua catatan

Sabtu, 12 November 2011

Muzik Membantu Perkembangan Anak

Muzik bukan sahaja digemari oleh golongan remaja dan dewasa.Bayi dan kanak-kanak juga amat senang dan tenang dengan muzik apabila muzik yang digemari dipasang semasa mereka hendak tidur atau dalam kereta ketika dalam perjalanan untuk menuju ke sesuatu destinasi.

Anak-anak selalunya akan memberikan reaksi yang berbeza terhadap pelbagai jenis bunyi muzik. Faktor ini bergantung kepada tahap umur, keadaan dan ´mood´ mereka pada waktu itu. Justeru, penggunaan muzik tidak hanya dihadkan kepada satu jenis muzik sahaja, sebaliknya biar mereka mendengar pelbagai bentuk muzik yang ada.

Kebanyakan ibu bapa menyedari bahawa bayi amat mudah dipujuk jika mereka menyanyi atau mendodoikan bayi perlahan-lahan sambil menepuk-nepuk punggung dan dadanya. Ini kerana bayi mempunyai kebolehan yang tersendiri untuk bertindak balas terhadap rangsangan bunyi dan sentuhan.

Jenis muzik yang sesuai dan digemari oleh bayi dapat ditentukan dengan memastikan muzik tersebut mesti dipasang ketika bayi dalam keadaan sedar dan jaga. Ini kerana pada waktu ini ibu bapa dapat melihat reaksi mereka apabila muzik itu dipasangkan sama ada mereka suka atau tidak terhadap muzik tersebut.

Bayi dalam rahim juga boleh memberi tindak balas terhadap muzik yang mereka dengar. Menurut satu kajian, sekumpulan bayi yang ibunya mendengar muzik setiap hari sehingga pada saat kelahiran kelahiran lebih mudah dipujuk dengan mendengarkan irama bertema selepas beberapa minggu dilahirkan. Perkara ini amat berbeza dengan bayi yang tidak mendengar muzik - mereka kurang menunjukkan tidak balas.

Bayi selalunya gemar berbaring dan anda boleh menggerakkan anggota badan mereka sambil menyanyi, malah penggunaan instrumen muzik seperti loceng digalakkan untuk merangsang pendengaran dan penglihatan mereka. Sehinggalah mereka memasuki zaman kanak-kanak, muzik dan alatan muzik sangat disukai oleh mereka dan mereka begitu gembira jika dapat mengikut beberapa perkataan yang dinyanyikan oleh anda serta boleh menggunakan alat muzik yang terdapat di sekitar mereka.

Ibu bapa boleh menjadikan lagu dan muzik sebahagian daripada masa bermain mereka dengan memasangkan kaset lagu kanak-kanak dan membaca buku yang mempunyai gambar menarik dan berbunyi dapat menarik minat anak-anak terhadap membaca. Irama yang disertai senikata lagu akan membantu anak-anak mengembangkan kemahiran bahasa mereka.

Selain itu, muzik yang didengari oleh anak-anak juga membantu mereka menghafal dan menajamkan fikiran. Sebagai contoh, nama para Nabi dan Rasul yang dinyanyikan amat mudah diingati oleh kanak-kanak berbanding sekiranya kita menyuruh mereka menghafal kesemua nama itu tanpa ada irama dan muzik. Hal ini secara tidak langsung merupakan salah satu teknik kita mendidik anak-anak dan membantu mereka dalam proses pembelajaran, terutama yang melibatkan hafalan.

Muzik juga membantu anak-anak menambahkan lagi kemahiran yang ada pada mereka. Ini kerana apabila mereka minat pada muzik, kita akan membelikan satu jenis alatan atau instrumen muzik untuk mereka berlatih menggunakan instrument tersebut. Secara tidak langsung mereka bukan sahaja boleh mendendangkan lagu tersebut dengan baik, malah mereka juga akan mahir menggunakan alat muzik dan mampu mengenal nota-nota muzik.

Kesimpulannya, anak-anak yang didedahkan dengan muzik seawal mereka dalam kandungan lagi lebih senang untuk ditenangkan dan mereka juga lebih aktif daripada kanak-kanak lain. Malahan penggunaan muzik dan irama dalam kehidupan mampu memberikan kedamaian dan keharmonian dalam sesebuah keluarga serta muzik juga berupaya mengurangkan tekanan dalam kehidupan sehari-harian. Lebih daripada itu kita dapat mengelakkan anak-anak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat dan tidak berfaedah.

Susunan NURBALQIS HAYATI AHMAD NAJIH
27 Julai 2004
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Jumaat, 7 Oktober 2011

Peranan muzik dan kanak-kanak prasekolah

Muzik sentiasa menjadi sebahagian penting dalam sistem pembelajaran kanak-kanak. Misalnya, seorang ibu akan mendendangkan irama lagu semasa mendodoikan anaknya untuk tidur, menyanyikan nada irama kanak-kanak apabila menyampaikan cerita fiksyen atau sejarah, serta aktiviti menyanyi bersama yang dipelajari kanak-kanak semasa di rumah atau di prasekolah. Semua rangsangan stimulasi ini memberikan perkembangan yang sihat kepada bayi dan kanak-kanak.

Kajian terbaru membuktikan bahawa muzik boleh memantapkan perkembangan bahasa, hubungan bunyi perkataan, keupayaan matematik kanak-kanak dan sesetengahnya meningkatkan keupayaan intelektual kanak-kanak. Menurut Dr. Lihanna Borhan, pensyarah perkembangan kanak-kanak di Universiti Malaya, kepelbagaian jenis muzik berguna untuk masa depan bayi kerana ia memupuk kemahiran menulis, membaca dan perbahasan.

Semasa usia enam tahun pertama mereka, kanak-kanak boleh berlagu mengikut irama apabila mereka cuba membezakan deria dan bunyi daripada irama muzik serta memperoleh penyampaian visual bunyi tersebut. Proses mendapatkan maksud dari bunyi merupakan kunci utama untuk permulaan kanak-kanak dalam perkembangan bahasa.

Muzik juga memiliki keupayaan memulih ke atas kanak-kanak. Mengikut hasil kajian yang dijalankan oleh Stanford University telah mendedahkan bahawa :

- Muzik meningkatkan pembacaan untuk kanak-kanak disleksia
- Meningkatkan keupayaan otak untuk mengenalpasti dengan cepat perubahan bunyi dan nada
- Mempunyai faedah kognitif, walaupun tahap ukurannya belum ditentukan
- Keupayaan pemikiran spatial dan temporal (yang merupakan asas penting untuk matematik dan sains) dan prestasi yang lebih baik dalam menjalankan tugas dibandingkan rakan mereka yang tidak mengambil pelajaran muzik, termasuk mereka yang mengambil pelajaran komputer dalam tempoh yang sama.
- Peningkatan celik huruf, muzik sememangnya menjadi komponen penting dalam perkembangan bahasa kerana ia merupakan cara yang baik untuk melibatkan kanak-kanak dalam menerokai bunyi dan perkataan, manakala irama pula alat yang berguna untuk meningkatkan memori. Contoh terbaik adalah lagu huruf. Sesetengah orang dewasa masih menyanyikan ABCDE hingga Z untuk membaca huruf.
- Berupaya untuk memahami maklumat baru dengan lebih baik dan cepat, kerana muzik meningkatkan keupayaan mental.
- Merangsang keyakinan dan harga diri anak anda. ia menjadi faktor penting untuk perkembangan dan pembesaran kanak-kanak.

Keseronokan adalah kunci kepada apa jua proses pembelajaran. Menyanyi, bermain dan menarilah bersama murid prasekolah anda. Kerana tiada pembelajaran yang lengkap tanpa ibu bapa dan guru.

Petikan: Rencana ini disumbangkan oleh Mead Johnson Nutritionals dan merupakan sebahagian daripada empat rencana merangkumi Smart Music (Bijak Muzik), Smart Language (Bijak Bahasa), Smart Play (Bijak Permainan), dan Smart Nutrition (Bijak Nutrisi).